Masih teringat-ingat..

sumber: Astro Awani

Waktu zaman kanak-kanak dahulu, kedatangan Ramadhan suatu yang amat menggembirakan. Banyak aktiviti yang tidak dapat dilakukan pada bulan lain, boleh dilakukan pada bulan ini. Bebas keluar malam, main mercun dan meriam buluh, dapat makan beraneka makanan yang sedap-sedap dan bermacam-macam lagi. Emak dan ayah pula memberi kebebasan sepenuhnya. Pendekata, bulan Ramadhan ini menjadi ‘rahmat’ bagi kami semua. 

Masih saya ingati dulu, beberapa hari sebelum tibanya Ramadhan, di peti televisyen memaparkan pengumuman tarikh dan lokasi melihat anak bulan. Sejujurnya saya tidak pernah pernah terlepas peluang untuk menontonnya. Suka saya mendengar alunan muzik latar serta suara juruhebah wanita yang menyebut lokasi-lokasi yang berkenaan. Bagaikan masih terngiang-ngiang di telinga suaranya menyebut satu persatu. 

Apabila tiba masa pengumuman bagi negeri Pahang, saya semakin teruja kerana akan disebutkan lokasi yang paling hampir dengan tempat saya iaitu Bukit Pelindung. Wah, kembangnya hati, berbunga-bunga. Walaupun ia sesuatu yang biasa sahaja, tiada apa-apa yang istimewa. Tetapi entahlah, fikiran budak-budak pada masa itu. Suka sangat apabila sesuatu yang ada kena-mengena dengan kita terpancar di dalam televisyen. 

Sekarang, pengumuman tarikh dan lokasi melihat anak bulan masih ada tetapi dalam versi yang lebih baru. Namun saya merindukan suasana dan momen yang dulu kerana padanya ada sesuatu yang masih menjadi kenang-kenangan.

Subscribe to receive free email updates: