Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (29)

DALAM NAUNGAN KENABIAN DAN KERASULAN

Menikmati Kesunyian Gua Hira'

Ketika umur baginda mendekati 40 tahun dan tatkala pelbagai renungan yang dilakukannya telah membentangkan jarak pemikiran antara baginda dengan kaumnya, Nabi Muhammad mula suka menyendiri. Baginda membawa roti gandum dan bekal air lalu pergi ke Gua Hira' yang terletak di Jabal Nur, yang jauhnya kira-kira dua batu dari Mekah.  

Ukuran Gua Hira' sederhana, tidak terlalu besar. Dalamnya sepanjang empat engkol besi dan lebarnya satu tiga perempat engkol besi. Sepanjang Nabi Muhammad berada di Gua Hira', Khadijah turut keluar dari Mekah dan tinggal berekatan dengan Gua Hira'.(1)

Baginda berdiam diri di Gua Hira' sepanjang bulan Ramadhan. Jika ada orang miskin mendatangi gua itu, baginda tidak lupa memberikan makanan. Baginda menghabiskan waktu di dalam Gua Hira' untuk beribadah dan memikirkan fenomena alam yang terjadi di sekeliling baginda serta kekuatan tersembunyi yang ada di sebalik alam nyata.

Baginda tidak mendapat ketenteraman hati menyaksikan apa yang ada pada kaumnya yang berupa keyakinan syirik yang membelenggu dan persepsi lemah yang dipenuhi dengan imaginasi tahyul.  

Namun begitu, di hadapan baginda juga tidak ada jalan terang untuk keluar daripada perkara itu, tidak juga jalan yang boleh dituju yang dapat membalut hati baginda dengan ketenteraman dan keredhaan.(2)

Pilihan hidup baginda untuk melakukan uzlah (menyendiri daripada masyarakat) merupakan salah satu rahsia Allah dalam mengatur diri baginda. Tujuannya adalah untuk mempersiapkan diri baginda sebelum menyambut urusan agung yang telah menanti baginda. Di situ, baginda bebas daripada kesibukan dan hiruk-pikuk dunia serta perangai manusia yang sentiasa mewarnai kehidupan.

Baginilah baginda mempersiapkan dirinya untuk memikul amanah besar yang akan mengubah wajah dunia dan meluruskan garis sejarah. Allah menetapkan baginda melakukan uzlah selama tiga tahun sebelum membebankan risalah Islam di bahu baginda. Baginda biasanya pergi menyendiri selama satu bulan penuh dengan hatinya yang merdeka, lalu merenung keajaiban tersembunyi yang ada di sebalik alam nyata ini. Hingga tibalah masanya baginda berinteraksi dengan keajaiban tersebut tatkala Allah mengizikannya.(3)    

Rujukan: 

(1) Muhammad Sulaiman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-'Alamin, jil. I, hal. 47; Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 25-236; Sayyid Quthb, Fi Zhilal al-Quran, jil. XXIX, hal. 166.   

(2) Muhammad Sulaiman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-'Alamin, jil. I, hal. 47; Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 25-236; Sayyid Quthb, Fi Zhilal al-Quran, jil. XXIX, hal. 166. 

(3) Sayyid Quthb, Zhilal al-Quran, jil. XXIX, hal. 166. 

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :

  • Rindu ayahanda..Sifat seorang ayah, dia tidak akan menunjukkan kesedihan, tidak akan menunjukkan kesusahan kepada anak-anaknya. Semoga pengorbanan seorang a… Read More...
  • Meninggal Dunia Akibat BusungSaya masih ingat beberapa tahun lepas, seorang pencipta superhero tempatan terkenal menghubungi saya utk dtg berubat. Waktu itu saya masih b… Read More...
  • Fadhilat Asmaul HusnaSaya ijazahkan Ya Hanan Ya Manan Ya Fattah Ya Rozzaq Ya Ghoniyyu Ya Mughni 1000x sehari in sya Allah utk kerezekian dan kejayaan. … Read More...
  • Bicara santai: Panasnya.. Panasnya.. "Dan Dia lah Tuhan yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya, dan Kami menurunkan d… Read More...
  • 5585. FADHILAH MALAM 27 ROJAB FADHILAH MALAM 27 ROJAB    Dalam ihya’ juz:1 hal:426 Imam ghozali berkata:    اعلم ان الليالى المخصوصة بمزيد الفضل التي… Read More...